comscore
Tumpuan :
Nasional

Pusara Komander Muhammad Firdaus sentiasa harum – Bapa

Ramli Abd Hamid ketika ditemui selepas selesai majlis tahlil dan bacaan yasin di rumahnya di Persiaran Pantai Jerejak di George Town hari ini. – FOTO: NSTP

GEORGE TOWN: Keluarga Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, 23 April lalu mengakui terharu apabila pusara Allahyarham tidak putus-putus diziarahi orang hampir setiap hari.

Ramli Abd Hamid, 68, bapa kepada Allahyarham berkata beliau beranggapan perkara itu adalah rezeki yang sudah ditakdirkan untuk arwah.

“Memang orang tidak putus-putus ziarah kubur. Kalau pi (pergi) sana bau wangi sebab sentiasa orang mai (datang) tabur bunga…rezeki arwah,” ujarnya.

Tambah Ramli lagi, sehingga kini rumahnya juga sering menerima kunjungan orang ramai termasuk saudara mara dan sahabat handai dengan tujuan bertanya khabar keluarganya.

Ramli dan keluarga hari ini mengadakan majlis tahlil dan bacaan yasin di rumah mereka di Persiaran Pantai Jerejak di sini hari ini, genap 40 hari pemergian Komander Muhammad Firdaus ke negeri abadi.

Menjelaskan lebih lanjut, Ramli berkata mereka sekeluarga berlapang dada menerima laporan akhir tragedi itu dan percaya siasatan telah dilakukan dengan teliti dan sebaik-baiknya.

Ramli memaklumkan pihaknya telah dijemput untuk mendengar sendiri laporan berkenaan minggu lalu di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.

“Perkara sudah berlaku, kita jangan pertikai sesiapapun kerana depa (mereka) sudah buat yang terbaik. Jadi kami sekeluarga reda, berlapang dada dan terima dengan keadaan apa adanya.”

“Pak cik dan keluarga terima dengan ikhlas, reda..semata-mata reda. Apa yang berlaku adalah ketentuan takdir yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada keluarga kami,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, laporan akhir insiden helikopter TLDM terhempas yang membabitkan nahas dua helikopter TLDM di Lumut pada 23 April lalu, merumuskan bahawa salah satu pesawat tidak berada pada haluan ditetapkan.

10 anggota dan pegawai TLDM terdiri tujuh kru helikopter operasi maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas dua pesawat itu bergesel dan terhempas.

Kejadian berlaku ketika kedua-dua helikopter sedang menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini