MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melahirkan kebimbangan berhubung kes kematian akibat lemas di air di negara ini yang konsisten tinggi setiap tahun.
Ketua pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, secara purata statistik kematian akibat lemas di air adalah 320 kes setiap tahun dan sejak 1 Januari lalu hingga bulan ini sebanyak 265 kes kematian direkodkan di seluruh negara.
“Semua orang risau (kes lemas) dan saya sangat risau kerana rekod kematian kita disebabkan lemas di Malaysia ini tidak menunjukkan perubahan yang ketara.
“Ia masih konsisten sama setiap tahun kira-kira 320 kes dan sekarang kita ada kira-kira 265 kes dan jumlah ini tidak menunjukan perubahan walaupun pelbagai kaedah kita laksanakan untuk cuba mengurangkannya.
“Namun, saya percaya kita buat macam mana penguatkuasaan pun kesedaran diri itu penting.
“Maksudnya, jika kita tak reti berenang jangan main di air… jika kail panjang sejengkal, jangan kita menduga laut yang dalam. Jangan main-main… inilah susah nak nasihatkan orang,” katanya ketika diminta mengulas kekerapan kejadian lemas kebelakangan ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Keselamatan Kebakaran Dalam Pengurusan Industri 2024, di Bukit Katil, hari ini.
Sehubungan itu, Nor Hisham Mohammad meminta kerjasama semua pihak termasuk pengusaha pelancongan berkaitan aktiviti air supaya sentiasa menasihati pelanggan masing-masing berhubung bahaya di kawasan perkelahan pada musim tengkujuh ini.
“Kita juga memohon supaya ada kompromi daripada pengusaha industri khususnya yang berkait dengan sungai dan juga jeram untuk melihat bersama isu ini dan memberi nasihat.
“Kalau tanya saya, tutuplah, tapi susah juga industri ini nanti. Pemilik industri ni saya faham dia tahu contohnya kalau musim tengkujuh air pernah naik sampai paras mana di kawasannya.
“Jadi dia beri peringatan jangan main sampai ke kawasan itu dan perkara-perkara kecil ini perlu dibuat oleh semua orang,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.