Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Puntung rokok dikenal pasti punca kebakaran kecil yang berlaku di bangunan utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 di Sepang, Selangor, pagi tadi.
Malaysia Airports Holdings Berhad menerusi Facebook memaklumkan, api dapat dipadamkan hasil tindakan pantas Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Hasil siasatan mengesahkan insiden berlaku disebabkan pembuangan puntung rokok. Malaysia Airports mengingatkan orang ramai bahawa terdapat kawasan khusus untuk merokok disediakan di lapangan terbang.
“Sila gunakannya untuk keselesaan dan keselamatan komuniti lapangan terbang,” menurut hantaran itu.
Terdahulu, dalam hantaran berasingan, Malaysia Airports menjelaskan, kebakaran itu mengakibatkan kepulan asap boleh dilihat di tingkat 3 dan tingkat 5 Terminal 1.
Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan penerbangan dan operasi lapangan terbang.
Sementara itu, kenyataan Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail memaklumkan Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM negeri menerima panggilan asap dalam bangunan utama di tingkat 3, KLIA Terminal 1.
Susulan itu, seorang pegawai dan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA serta dua jentera digerakkan ke lokasi.
“Ketika pihak bomba sampai di lokasi didapati asap tebal di ‘boarding pass’. Setelah pemeriksaan dilakukan didapati kebakaran melibatkan sampah di dalam saluran sampah di bangunan terminal utama di tingkat 3. Pihak bomba bertindak memadamkan kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula yang terdapat di bangunan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Wan Md Razali berkata, kebakaran dapat dikawal dan dipadamkan jam 9.10 pagi dan operasi tamat sepenuhnya jam 10.31 pagi.
Beliau mengesahkan kebakaran tidak melibatkan struktur bangunan dan mangsa.