comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Puncak Kinabalu catat suhu bawah paras beku

 

KOTA KINABALU: Suhu di bawah paras beku dengan bacaan antara negatif tiga hingga negatif lima darjah Celsius dicatatkan di kawasan puncak Gunung Kinabalu, semalam.Menurut perkongsian info daripada kakitangan Taman-Taman Sabah dalam Facebook Sabah Parks, suhu yang rendah itu direkodkan antara jam 2.30 pagi hingga 7 pagi.

Tiga kristal dan hablur ais seperti salji terbentuk di Gunung Kinabalu disebabkan suhu mencapai paras negatif. – FOTO: Sabah Perks/Facebook

Suhu paras negatif itu menyebabkan air di permukaan batu atau kayu membeku dan membentuk kepingan, kristal atau hablur ais bermula dari kawasan Sub Stesen Panalaban, Taman Kinabalu sehingga ke kawasan puncak Kinabalu.

“Permukaan batuan granit licin disebabkan pembekuan ais. Semoga pendaki sentiasa berhati-hati sepanjang melakukan aktiviti pendakian dan turun.

“Setakat ini aktiviti pendakian adalah lancar dan terkawal. Tiada kes kecemasan atau kemalangan yang dilaporkan,” katanya.

Pendaki dan malim gunung dinasihatkan berhati-hati mendaki ketika cuaca yang sangat sejuk di puncak gunung. – FOTO: Sabah Perks/Facebook

Katanya, acute mountain sickness (AMS) juga mudah berlaku dalam keadaan cuaca yang sejuk.

Facebook Sabah Parks turut menyertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan pembentukan ais di sekitar kawasan puncak Gunung Kinabalu, semalam.

Perkongsian itu mendapat perhatian pengguna Facebook termasuk turut berkongsi keadaan lebih sejuk yang dirasai di sekitar kaki gunung ketika ini.

Pembentukan ais di kawasan puncak Kinabalu bukan perkara baharu, malah kejadian itu sering dilaporkan berlaku hampir setiap tahun terutama ketika musim kemarau, khususnya pada awal tahun.

Februari lalu, beberapa pendaki di gunung setinggi 4,095 meter itu turut berkongsi penemuan kepingan ais di kawasan puncak gunung berkenaan berikutan suhu mencapai tahap beku.

Loading...
Terkini