Tumpuan :
Nasional

Punca penarafan prestasi KLIA, KLIA2 menjunam dikenal pasti

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Penarafan KLIA diakui telah menjunam selepas 26 tahun beroperasi, biarpun sebelum ini pernah muncul sebagai lapangan terbang kedua terbaik di dunia dan antara terbaik di Asia.

Sistem yang lapuk dan aspek penyelenggaraan dikenal pasti sebagai antara punca penarafan dua lapangan terbang utama di negara ini menjunam berbanding peringkat awal kemudahan itu diperkenalkan sebelum ini.

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, ia turut diburukkan lagi menerusi kelemahan sistem pengendalian bagasi penumpang yang mengambil tempoh terlalu lama sejurus kapal terbang mendarat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, aspek kecekapan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA2) juga perlu ditambah baik bagi memastikan kemudahan berkenaan dapat kembali beroperasi pada tahap optimum.

“Ia juga berkaitan dengan kaedah menggerakkan penumpang secara keseluruhan dengan proses berkenaan perlu dilakukan secara lebih cepat dan pihak lapangan terbang serta syarikat penerbangan perlu berusaha dan bekerjasama.

“Ia bagi meningkatkan tahap pendigitalan yang lebih baik supaya kita dapat menggunakan perisian digital bagi menyelesaikan masalah. Ini yang perlu difokuskan,” katanya menerusi audio siar Keluar Sekejap malam tadi.

Sementara itu, Siew Fook menjangkakan penggabungan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan dimuktamadkan menjelang tahun ini.

Penggabungan itu, katanya, akan mewujudkan entiti lebih besar dengan dua fungsi dalam satu badan, selain hala tuju berkenaan dibuat berdasarkan faktor kebanyakan negara luar hanya memiliki satu regulator bagi teknikal dan ekonomi.

“MAVCOM sebagai regulator ekonomi asalnya adalah badan berkanun yang diasingkan dan tidak memerlukan dana kerajaan kerana mengutip RM1 daripada setiap penumpang sebagai fi regulatori.

“CAAM pula adalah regulator teknikal yang juga badan berkanun tetapi belum diasingkan sepenuhnya dan ‘payscale’ masih tertakluk kepada kerajaan dan ini yang menjadi antara sebab penarafan kita diturunkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) daripada Kategori I kepada Kategori II.

“CAAM tiada punca kewangan kukuh untuk melantik juruteknik atau jurunilai berpengalaman untuk menjadi regulator,” katanya.

Loading...
Terkini