
GEORGE TOWN: Polis mengesahkan punca kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin adalah disebabkan serangan jantung.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, proses bedah siasat dijalankan pada jam 9 malam tadi di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Punca kematian beliau adalah ‘acute coronary syndrome (serangan sakit jantung),” katanya dalam kenyataan ringkas sebentar tadi.
Terdahulu, jenazah ahli politik berusia 59 tahun itu dibawa pulang ke kediamannya di Desa Seri Ampang, Ipoh pada jam 10.40 malam ini sebaik sahaja proses bedah siasat selesai dilakukan.
Setiausaha Eksekutif UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Mohd Salleh Mat Disa, berkata, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Ipoh dan dijangka dikebumikan pada jam 10 pagi esok.
Jenazah bapa kepada empat anak itu dibawa pulang dengan menaiki van jenazah, diiringi beberapa kenderaan ahli keluarganya dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mewakili kerajaan negeri bagi menyampaikan ucapan takziah dan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham.
“Berita ini sangat mengejutkan kerana beliau berada di sini untuk perlawanan bola sepak persahabatan di Pulau Pinang.
“Saya baru pulang dari lawatan kerja di Jepun kira-kira jam 8.15 malam tadi dan terus bergegas ke sini bagi menziarahi Allahyarham dan kita berharap seluruh ahli keluarga beliau tabah dengan apa yang berlaku,” katanya.
Sebelum itu, isteri Allahyarham, Rozlita Abdullah, 55, dan anak mereka, Muhammad Iszul Imadi, 30, turut berada di Jabatan Perubatan Forensik untuk menguruskan proses kepulangan jenazah.
Beberapa UMNO dari Pulau Pinang dan Perak turut dilihat hadir memberi sokongan kepada waris Allahyarham.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.