Tumpuan :
Nasional

Punca kanak-kanak OKU meninggal selepas alami cirit-birit sedang disiasat KKM

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (empat, kanan) melawat Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar di Hospital Balik Pulau selepas majlis perasmiannya di sini hari ini. -Foto : NSTP

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang melakukan siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) berusia dua tahun enam bulan yang meninggal dunia semalam, selepas dilaporkan mengalami cirit-birit sejak minggu lalu.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, kenyataan berkaitan kematian kanak-kanak terbabit di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh itu juga sudah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Pahang (JKNP).

“Siasatan berhubung kes itu sedang dilakukan,” katanya selepas merasmikan Jabatan Kecemasan dan Pesakit Luar Hospital Balik Pulau di sini, hari ini.

Terdahulu, JKNP memberi jaminan bagi menyiasat dan mengambil tindakan lanjut berhubung kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan yang tular di media sosial semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, punca kematian kanak-kanak OKU dengan penyakit lewat perkembangan dan ‘congenital laryngomalacia’ juga masih dalam siasatan.

Kanak-kanak lelaki OKU itu disahkan meninggal dunia pada jam 9.34 pagi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) hospital berkenaan.

Susulan itu, seorang wanita dipercayai ibu kanak-kanak terbabit bertindak menzahirkan perasaan kecewa melalui Facebook, terhadap sebuah klinik kesihatan di Bentong yang didakwa gagal mengesan tanda awal penyakit anaknya ketika mendapatkan rawatan di fasiliti berkenaan.

Wanita itu mendakwa, petugas di klinik kesihatan berkenaan hanya memberi preskripsi tiga peket ubat air garam bagi kemungkinan berlaku keracunan makanan, selepas memeriksa kulit, perut dan suhu badan anaknya.

Loading...
Terkini