Tumpuan :
Nasional

Puluhan kenderaan terkandas, jalan lama Jerantut-Maran dinaiki air

Foto NSTP – Keadaan air daripada anak sungai berdekatan kawasan ladang sawit melimpah ke atas jalan raya menyebabkan laluan terkandas di Jalan Simpang Ibul Tunggal – Simpang Jengka 8 berdekatan Sungai Bangkong, Jerantut petang tadi.

JERANTUT: Jalan Persekutuan Lama Jerantut- Maran berdekatan Sungai Bangkong mula dilimpahi air mengakibat puluhan kenderaan terkandas antara Simpang Ibul Tunggal ke Persimpangan Jengka 8, petang tadi.

Kenderaan ringan terutama milik penduduk Felda Tekam Utara, Felda Kota Gelanggi Dua dan Kota Gelanggi 4, Felda Sungai Tekam dan perkampungan Orang Asli Sungai Bangkong termasuk kenderaan luar yang melalui laluan tersebut terkandas dan diarahkan berpatah balik.

Air mula naik sedalam kira-kira 1 meter berdekatan Sungai Bangkong berikutan hujan berterusan sejak dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitenden Mazlan Hassan berkata, jalan tersebut dilimpahi air dipercayai berpunca daripada anak sungai daripada kawasan ladang sawit berdekatan.

Katanya, orang ramai dikehendaki sentiasa mengikuti perkembangan terkini dan tanda serta arahan yang diletakkan berdekatan kawasan terlibat.

“Paras air berkemungkinan meningkat kerana hujan di kawasan ini masih lebat dan beberapa kawasan anak sungai kecil digenangi air dan melimpah ke jalan raya, kebanyakan kenderaan ringan dari dua arah berpatah balik dan tidak pasti keadaan ini surut memandangkan hujan lebat masih berlaku di kawasan itu.

“Kejadian ini turut menghalang laluan kereta ringan dan motosikal penduduk ke tempat kerja, berurusan ke Simpang Jengka dan bandar Jerantut, katanya.

Tinjauan sehingga jam 6 petang tadi mendapati jalan raya berdekatan Sungai Bangkong dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Loading...
Terkini