Tumpuan :
Nasional

Pulau Pinang warta ajaran Qadiani atau Ahmadiah sesat sejak 2017

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

GEORGETOWN: Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang mewartakan ajaran Qadiani atau Ahmadiah sesat sejak 2017.

Sehubungan itu Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata masyarakat Islam di negeri ini dilarang mengamalkan ajaran berkenaan.

Beliau berkata larangan membabitkan segala usaha mengedar, membeli, memiliki atau menyampaikan ceramah mengenai sebarang publisiti dan siaran yang menonjolkan kefahaman itu.

Katanya, beliau juga mengharapkan kerjasama agensi kerajaan lain terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya turut serta memainkan peranan bagi memastikan ajaran itu tidak tersebar dalam masyarakat Islam di negara ini.

“Semoga kesucian agama Islam di negara ini sentiasa terpelihara daripada dicemari oleh segala ajaran sesat dan fahaman yang menyeleweng,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Salim berkata, terdapat beberapa kesalahan dan dakwaan palsu di dalam video tular antaranya Imam Mahadi akan mengubah syariat termasuk ibadat solat.

“Sedangkan menurut kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jamaah berdasarkan hadis mutawatir, Imam Mahadi tidak akan membawa sebarang ajaran baharu yang bercanggah dengan syariat yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.

“Begitu juga dakwaan bahawa Kaabah yang asal bukan terletak di Tanah Suci Makkah tetapi di Petra Jurdan adalah bercanggah dengan fakta sejarah, malah dengan Sirah atau biografi Nabi Muhammad SAW sendiri yang dirakam dengan rapi dan teliti oleh ahli sejarah seperti Abu Ishak, At-Tabari, Ibnu Kathir dan ramai lagi,” katanya.

Menerusi kenyataan itu juga beliau menyokong arahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya semua jabatan dan agensi Islam termasuk Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) bergabung tenaga membanteras ajaran Ahmadiah dan ajaran seumpamanya.

Ia susulan ajaran Ahmadiah yang cuba ditularkan kembali menerusi media sosial walaupun sudah sekian lama difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama Islam di peringkat persekutuan dan negeri.

Terdahulu, sebuah video tular memaparkan perbualan telefon antara seorang individu dalam ajaran Ahmadi yang berperanan sebagai pendeta, mendakwa Imam Mahadi membawa kaedah ibadah dan ritual yang baharu ‘seperti dijanjikan dalam hadis’.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini