GEORGETOWN: Kerajaan Pulau Pinang menangguhkan perarakan Chingay, tarian naga dan singa, yang dijadual berlangsung pada 1 Januari 2023 kepada 5 Februari depan sempena sambutan Chap Goh Meh.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri negeri, Yeoh Soon Hin, berkata penangguhan itu selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan, yang membatalkan sambutan ambang Tahun Baharu 2023.
“Perarakan Chingay, tarian naga dan singa adalah acara yang unik di Pulau Pinang, manakala sambutan Chap Goh Meh adalah perayaan tradisional kaum Cina.
” Perayaan itu dijangka dapat memperkayakan lagi seni budaya tempatan dengan lebih berkesan dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Soon Hin berkata, kerajaan negeri akan terus mempromosi Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan yang mewujudkan pelbagai budaya menerusi kempen ‘Experience Penang.”
“Kita turut berusaha ke arah memartabatkan warisan budaya dan seni dengan aktiviti bersepadu,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada sidang media, Rabu lalu berkata, sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 yang dijadual diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Disember ini dibatalkan, susulan keadaan banjir dan kesusahan dialami rakyat pada masa sekarang.
Keputusan itu mengulangi langkah kerajaan terdahulu yang tidak mengadakan sambutan tahun baharu 2022 kerana mengelak risiko penularan COVID-19.