comscore
Tumpuan :
Nasional

Pulau Pinang negeri keenam isytihar GISBH bercanggah, seleweng ajaran Islam

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, pada sidang media mengenai keputusan fatwa Pulau Pinang berkaitan GISBH, hari ini. – Foto: NSTP.

GEORGETOWN: Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang memutuskan ajaran, pegangan dan fahaman dibawa pemimpin, pengikut, pekerja atau jemaah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan rangkaian syarikat gabungannya bercanggah serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid, berkata kumpulan terbabit masih meneruskan pegangan serta amalan Darul Arqam dan Syarikat Rufaqa’ Corporation Sdn Bhd yang difatwakan sesat sebelum ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, GISBH turut didapati menyeleweng dalam aspek akidah antaranya mempercayai pengasas Aurad Muhamadiah, Syeikh Muhammad Suhaimi tidak mati tetapi ghaib dan akan muncul sebagai Imam Mahadi.

Selan itu, katanya, pengasas Darul Arqam, Ashaari Muhammad atau dikenali sebagai Abuya, dikatakan sebagai pemuda Bani Tamim dan akan muncul menjadi pembantu Imam Mahadi pada akhir zaman.

“Jemaah GISBH masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung versi Darul Arqam yang difatwakan sesat selain meyakini amalan bertabarruk iaitu basuhan anggota badan pemimpin GISBH, air rendaman rambut dan janggut pemimpin mempunyai berkat.

“Dari sudut muamalah ekonomi, GISBH mempunyai unsur perhambaan dan penindasan terhadap mereka yang terbabit serta eksploitasi ke atas ahli kanak-kanak dan wanita.

“Kita akan mewartakan keputusan fatwa ini secepat mungkin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membolehkan penguatkuasaan dibuat,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman.

Langkah itu menjadikan Pulau Pinang negeri keenam mengisytiharkan ajaran dan amalan GISBH bercanggah menyeleweng ajaran Islam, mengikuti jejak langkah Perlis, Selangor, Pahang, Melaka dan Sabah.

Mohamad berkata, keputusan yang dibuat bersandarkan maklumat terperinci dan bukti sahih berkaitan GISBH di Pulau Pinang yang diperoleh daripada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan pihak polis negeri.

Katanya, Jawatankuasa Fatwa negeri turut memutuskan, orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan dilarang dan diharamkan beramal atau berpegang dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengan GISBH.

“Orang Islam diharamkan mengajar, menyebar, mengembangkan, menyokong ajaran sedemikian termasuk menjadi pengikut, mengisytiharkan diri, menyertai majlis, perayaan atau keraian yang boleh dikaitkan dengan fahaman atau amalan yang mempunyai persamaan dengannya.

“Diharamkan juga memiliki, menyimpan, menerbitkan, menyalin, mencetak, menjual, mengedar atau menyiarkan bahan berkaitan selain menganjur, menyokong, mengadakan atau membantu menjayakan perayaan, sambutan keraian, majlis atau aktiviti,” katanya.

Mohamad berkata, kerajaan negeri menyediakan Kompleks Darul Hidayah (KDH) Permatang Tok Gelam, Penaga sebagai pusat pemulihan akidah secara sukarela dalam usaha membantu memulihkan akidah jemaah GISBH.

Katanya, KDH belum menerima ahli GISBH untuk proses pemulihan akidah namun kerajaan negeri melalui agensi dan jabatan berkaitan akan memastikan pelan pemulihan akidah dapat dilaksanakan dengan berkesan dan menyeluruh kepada ahli GISBH di Pulau Pinang.

“Program pemulihan di KDH menekankan bimbingan asas agama Islam dan memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) berasaskan modul seperti akidah, sirah, ibadah dan fikah.

“Selama ini KDH bertanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal saudara baharu serta bertanggungjawab sebagai pusat pemantapan akidah untuk individu atau kumpulan,” katanya.

Beliau menegaskan, KDH mempunyai kemudahan prasarana yang lengkap dan selesa serta mampu menampung bilik penginapan sehingga 120 orang dalam satu masa, selain surau berkapasiti 200 orang serta dewan serbaguna berhawa dingin dengan kapasiti 500 orang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini