GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menafikan dakwaan struktur Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) retak seperti yang tular di media sosial sejak hari ini.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata pihaknya telah pun membuat semakan bersama Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) dan kejadian bukan berlaku di lokasi yang dinyatakan.
Sebaliknya, Zairil berkata ia adalah video lama yang berlaku di luar negara sekitar tahun 2014.
“Sedang tular di kumpulan-kumpulan WhatsApp berkaitan video kononnya Jambatan Pulau Pinang telah retak seperti di dalam video tersebut.
Semakan mendapati video tersebut merupakan video lama dan insiden jambatan retak tersebut berlaku di luar negara sekitar tahun 2014,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Justeru, Zairil berharap orang ramai supaya berhenti menularkan video berkenaan dan berita tidak sahih kerana dikhuatiri akan menimbulkan ketakutan kepada masyarakat.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 27 saat tular di media sosial yang dirakam seorang individu mendakwa struktur JSAHMS retak dan meminta pengguna jambatan itu supaya berhati-hati. – BERNAMA