Tumpuan :
Nasional

Pulang semula surat selain Bahasa Melayu – PM

Oleh: Fahiz Ariff

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua pihak baik sektor awam atau swasta untuk menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya dalam setiap urusan surat menyurat rasmi sebagai usaha memperkasakan penggunaan bahasa Melayu.

Katanya, mana-mana pihak yang  mengutus surat selain daripada bahasa kebangsaaan, surat itu akan dipulangkan.

“Hari ini, kalau di kalangan syarikat tempatan termasuk institusi pengajian tinggi (awam, swasta), jika menulis dalam  bahasa selain bahasa kebangsaan, surat itu akan dipulangkan”

“Bukan kerana kita sempit tetapi pemerkasaan budaya, bahasa dan sastera itu sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa” jelasnya.

Dalam pada itu, Anwar berharap usaha  memartabatkan karya sastera dalam kalangan generasi muda dipergiat sebagai pasak yang membangunkan negara dan jiwa bangsa.

“Buku-buku dan karya-karya sasterawan negara wajar dibaca, ditelaah generasi muda”

“Ini kerana curahan dan pencernaan (sasterawan) telah dilakar dengan bahasa indah, selain membuktikan penguasaan ilmu yang baik”, katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri melancarkan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia (MMU) di sini, hari ini.

Dekad Membaca Kebangsaan 2023 ialah usaha memupuk minat membaca dalam kalangan  masyarakat Malaysia  yang bermula sejak tahun 1972 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka, (DBP).

Pada tahun ini, Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan yang berlangsung pada 25 hingga 27 Oktober 2023 mengangkat tema #BahasaJiwaBangsa dan #MalaysiaMembaca

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Sasterawan Negara yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Dr. Zulkapli Mohamed.

 

Loading...
Terkini