comscore
Tumpuan :
Nasional

Pukul pesakit mental hingga maut, Pemuda UMNO tawar guaman percuma kepada pelajar tahfiz

Pengerusi Sekretariat Peguam Muda Pemuda UMNO, Left Kol Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan.

KOTA BHARU: Sekretariat Peguam Muda Pergerakan Pemuda UMNO menawarkan khidmat guaman percuma kepada sekumpulan pelajar tahfiz yang terbabit dalam kejadian memukul seorang pesakit mental hingga maut di Pulau Melaka.

Pengerusi sekretariat itu, Left Kol Bersekutu (PA) Nik Saiful Adli Burhan, berkata pihaknya percaya tindakan dilakukan pelajar itu bagi meredakan keadaan dan mempertahankan seorang wanita yang ditendang lelaki terbabit, tetapi kes berakhir di luar jangkaan mereka.

“Kami rasa dukacita dengan kejadian malang itu, tetapi percaya tindakan dilakukan pelajar tahfiz itu didorong oleh ketakutan dan ancaman terhadap keselamatan orang awam semata-mata tanpa ada niat jahat lain.

“Kami berharap siasatan dijalankan sewajarnya dan pada masa sama, tidak melayan pelajar terbabit seperti penjenayah lain,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, seorang lelaki berusia 20-an dan dipercayai mengalami masalah mental maut dipukul selepas dikatakan mengamuk di masjid Tok Guru Pulau Melaka pada jam 7 malam.

Lelaki itu turut bertindak menendang seorang wanita berusia 50-an yang melalui pekarangan masjid berkenaan.

Nik Saiful berkata, pelajar berkenaan bukan kumpulan orang jahat, sebaliknya berada di tempat dan waktu yang salah.

Susulan itu, katanya, pihaknya dengan rasa tanggungjawab menawarkan khidmat nasihat guaman percuma kepada kumpulan pelajar berkenaan bagi menjaga hak serta keadilan dicapai semua pihak.

“Kami juga menyeru rakyat Malaysia terutama pengguna laman sosial untuk tidak memperbesarkan isu ini yang boleh menjadi fitnah kepada agama,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini