Tumpuan :
Nasional

Pukul OKU di pasar tani, 4 individu ditahan

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Polis menahan empat lelaki berhubung kejadian seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) dipukul di tapak jualan pasar tani, kelmarin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, selain menahan suspek, tiga saksi turut dipanggil bagi membantu siasatan Ibu Pejabat Polis daerah Kemaman.

“Mereka yang ditahan berusia antara 18 hingga 60 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh,” katanya.

Sementara itu, polis turut menasihati orang ramai agar tidak terus menularkan video kes tersebut serta memberi komen-komen negatif yang boleh mendatangakan kegusaran kepada masyarakat.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan,” katanya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang menunggang motosikal dilaporkan melanggar sebuah gerai jualan di situ kira-kira jam 9.30 pagi.

Pelanggaran menyebabkan barangan jualan seorang peniaga tumpah dan terjatuh sebelum mangsa dipukul beberapa lelaki sehingga cedera.

Mangsa yang juga OKU ketidakupayaan mental dibawa ke hospital Kemaman dan dirawat sebagai pesakit luar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini