MELAKA : Kehadiran puluhan kapal dagang di perairan Tanjung Kling terus memberi ancaman kepada lebih 200 nelayan di tujuh pangkalan di pesisir pantai kawasan itu.
Sudah banyak kali pukat nelayan dari lima pangkalan, rosak teruk akibat tersangkut pada badan kapal dagang yang berlabuh dan melalui perairan berkenaan.
Keadaan itu mengakibatkan nelayan terpaksa menanggung kerugian mencecah ribuan ringgit untuk menggantikan pukat yang ranap.
Ia sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan yang berdepan dengan radius tangkapan ikan semakin mengecil.
Masalah yang membelenggu mereka sejak 2015 itu pernah disuarakan kepada pelbagai pihak berkaitan, namun sehingga kini isu itu terus berlarutan.
Bahkan satu dialog antara pihak yang berkaitan dengan nelayan yang disaksikan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh pernah diadakan 13 Jun lalu.
Isu berkenaan melibatkan nelayan di tujuh pangkalan iaitu Tanjung Kling, Balik Bukit, Pantai Puteri, Sungai Lereh, Perigi, Kampung Hailam dan Klebang.
Ketua komuniti nelayan pangkalan Tanjung Kling, Aziz Jaapar antara mangsa kerosakan pukat yang tersangkut di kapal yang berlabuh di perairan itu.
”Semalam pun saya kena jaring, memang kapal tu berlabuh jadi makna kita pun nekadkan hati kita nak cari rezeki, bila masanya kita buang jaring kita nak elakkan kapal darat nak elak kan kapal laut jadi makna yang laut tak sempat nak tarik jadi itulah kena kat kapal yang berlabuh yang tadi saya dah bawak pemberita tadi, jadi kerugian lebih kurang 500 tapi dapat jual RM80, jadi manakah nelayan ni seperti saya dan kawan2 lain nak mencari rezeki?” katanya.
Seorang lagi nelayan, Nur Muhammad Azri Mustafa, 33, berkata, kerosakan pukat mematahkan semangatnya untuk terus menangkap hasil laut ekoran pendapatan kian terjejas.
Jika 10 tahun lalu, dia mampu meraih pendapatan sehingga RM400 sehari, namun kini hanya RM900 sebulan.
”Masalah kapal berlabuh ni kan memang orang kata generasi muda ni tak dapat teruskan apa yang orang dulu-dulu buat dah memang generasi muda akan datang takkan ada lagi dah percayalah cakap saya lagi 10 tahun kita nelayan melaka akan pupus, dengan penambakan yang akan berlaku depan ni lagi,” luahnya.
Justeru, mereka merayu tindakan lebih tegas dilakukan kerajaan negeri terhadap pemilik kapal terbabit bagi membela nasib nelayan.