Oleh: Syafiqah Damanhuri
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) dalam rundingan untuk menyerahkan semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) yang sebelum ini diletakkan di bawah Syarikat Bertujuan Khas (SPV).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas MoF berpuas hati TH kembali diurus dengan baik, peningkatan keyakinan pendeposit, serta pengurusan cekap dan berintegiriti oleh kepimpinan baharunya.
“Bila kita semak di MOF atas pertimbangan masa itu oleh Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa sebagai Menteri memberi usul MoF ambil alih atas keadaan TH masa itu menghadapi masalah kewangan.
“Sekarang ini dengan pengurusan baru yang lebih cekap dan dapat memulihkan keyakinan dan pengurusan yang lebih mantap. Maka MoF sedang berunding untuk memindah semula aset yang dipegang kementerian itu kepada TH,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji di Menara TH.
Jelas beliau lagi, pemindahan semula aset berkenaan akan melibatkan kesemua aset yang telah dipegang SPV dan akan dilakukan secara berperingkat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata penyerahan semula juga membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH di bawah SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.
“Keputusan ini (penyerahan semula aset) dengan sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah bertahun lamanya, berbakul-bakul fitnah, kata aset ini dijual.
“Tiada yang dijual, semuanya masih kekal sebagai satu amanah dan kita tumpu, sekarang ini telah berunding dari segi kos dari segi penggunaan dan sebagainya,” jelas beliau.
Perdana Menteri seterusnya menegaskan selagi beliau diberi amanah memegang tanggungjawab menjaga negara, beliau tidak akan bertolak ansur dalam segala percubaan untuk merosakkan agensi mahu pun syarikat milik negara bagi mengaut keuntungan.
| ARTIKEL BERKAITAN