Tumpuan :
Nasional

PTPTN utama pinjaman pembiayaan untuk mahasiswa jalani kursus dengan kebolehpasaran tinggi

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan memberi keutamaan kepada mahasiswa yang melanjutkan pengajian dalam kursus dengan tahap kebolehpasaran tinggi.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata ketetapan itu dibuat selari keputusan PTPTN bagi memastikan peminjam berupaya memiliki kerjaya selepas tamat pengajian.

Beliau berkata, kadar pembiayaan PTPTN pula kekal mengikut kategori pendapatan isi rumah sedia ada, dengan pinjaman penuh kepada mahasiswa yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Selain itu, katanya pinjaman sehingga 75 peratus akan diberikan kepada mahasiswa dalam kategori bukan penerima STR serta jumlah pendapatan isi rumah bernilai RM8,000 ke bawah.

“Mana-mana (mahasiswa dengan isi rumah) yang menerima gaji lebih RM8,000, kita akan berikan (pinjaman) pada kadar 50 peratus.

“Mekanisme ini akan diteruskan dan kita akan pastikan, terutama kategori B40 yang menerima STR akan mendapatkan pinjaman maksimum mengikut kadar ditetapkan,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai pendirian kementerian berhubung cadangan menghentikan pembiayaan PTPTN bagi kursus dengan kadar bayar balik di bawah 30 peratus.

Sementara itu, Mustapha berkata Agensi Kelayakan (MQA) memperkenalkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) sebagai usaha menyokong agenda Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) serta agenda global mengenai Matlamat Pembangunan Lestari.

Beliau berkata, APEL diperkenalkan dalam tiga kategori masing-masing APEL untuk tujuan akses (APEL.A), APEL untuk tujuan pindah kredit (APEL.C) dan APEL untuk penganugerahan kelayakan (APEL.Q).

“Bagi menggalakkan masyarakat menyokong agenda PSH, kementerian melalui PTPTN juga menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan dan terbuka kepada semua warga tempatan yang mendapat tawaran ke institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta politeknik.

“Mereka juga perlu memenuhi syarat kelayakan kemasukan ditetapkan kementerian, termasuk pelajar yang mendapat tawaran IPT melalui kelayakan APEL.

“Pemohon juga perlu memenuhi syarat permohonan seperti tertera di portal PTPTN, antaranya berumur tidak melebihi 45 tahun pada tarikh memohon dan kursus diikuti pelajar IPTA atau IPTS dan politeknik perlu mendapat kelulusan kementerian serta berdaftar dengan PTPTN.

“Baki tempoh pengajian semasa membuat permohonan hendaklah tidak kurang dari satu semester dan sudah membuka akaun Simpan SSPN Prime atau Simpan SSPN Plus,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini