Tumpuan :
Nasional

PRU Parlimen Belia dijangka Mac hadapan dengan format baharu

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul (tengah) dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin

KUALA LUMPUR: Parlimen Belia akan ditampilkan dengan format baharu pada tahun hadapan.

Antara pembaharuan itu ialah sistem pengundian seperti pilihan raya umum (PRU) serta pencalonan perwakilan akan dipilih dalam kalangan mahasiswa universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) di seluruh negara.

Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pihaknya sedang berhubung dengan pihak universiti untuk melaksanakan perkara berkenaan.

Pihaknya kini sedang memperkemas rombakan berkenaan yang diambil alih sepenuhnya daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Parlimen Belia (akan diadakan) pemilihan pada tahun hadapan tapi kita sedang buat pelarasan, format baharu.

“Kita sedang berbicara dengan universiti bagaimana kita nak kembangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Katanya, ketika ini penyertaan Ahli Parlimen Belia itu bersifat individu, justeru beliau menyeru penglibatan pihak universiti dalam Parlimen Belia.

Beliau juga memberi bayangan jumlah perwakilan ahli Parlimen Belia akan diperluas kepada 222 anggota berbanding hanya 100 orang ketika ini, selain proses pemilihan dijangka diadakan pada Mac 2025, diikuti persidangan pada September tahun depan.

Terdahulu, beliau merasmikan Simposium Parlimen Malaysia Kali Ketiga bertemakan ‘Parlimen: Tunjang Semak Imbang Negara’ di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr Ramli Mohd Nor dan Profesor Sains Politik, Universiti Sains Malaysia, Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian.

Sementara itu, Tan Sri Johari berkata, Parlimen sudah memulakan inisiatif untuk menggunakan tenaga solar pada bangunannya bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.

Katanya, langkah kecekapan tenaga itu dijangka dapat memperoleh penjimatan RM1 juta dalam tempoh setahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini