JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa meletak jawatan dengan segera.
Pengarah Operasi Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata ia sebagai tanggungjawab atas kekalahan Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang mencatat prestasi terburuk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) semalam.
Katanya, langkah itu sebagaimana diambil Datuk Seri Najib Razak yang telah berjiwa besar meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO atas kegagalan pada PRU-14.
“Kita semua sedia maklum bahawa satu tsunami politik orang Melayu telah berlaku, yang mana orang Melayu telah menolak UMNO. UMNO telah rebah.
“UMNO dan Barisan Nasional hanya menang sembilan kerusi Parlimen di Johor sementara itu, kita tidak memenangi satupun kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan mahupun Terengganu.
“Walaupun pahit untuk ditelan, pemimpin UMNO termasuk saya sendiri perlu kembali mendengar suara rakyat yang telah diterjemahkan melalui undi mereka ketika PRU-15 semalam.
“Ramai pemimpin UMNO, MCA dan MIC yang berkaliber dan berpotensi terkorban kerana kita tidak mahu mendengar denyut nadi akar umbi,” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Dalam keputusan PRU-15 yang diumumkan sehingga awal pagi tadi BN dilaporkan hanya 30 kerusi Parlimen, jumlah kerusi lebih rendah berbanding dicapai mereka pada PRU14.
Pada PRU-14, UMNO menang di 54 kerusi Parlimen.
Berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beberapa kerusi yang dimenangi UMNO dalam PRU-14 lalu, tewas dan beralih ke Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor berkata, BN dan UMNO perlu berani membuat perubahan ke arah kebaikan dan demi masa depan parti.
Katanya, usaha untuk memulih dan memperbaiki parti perlu bermula sekarang.
“Jika kita tidak berubah sekarang, kita tidak akan memenangi satu kerusi pun pada masa akan datang.
“Oleh itu, dengan rasa penuh hormat dan takzim, saya memohon supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan pada kadar sebagai presiden pada kadar yang segera, sebagaimana Datuk Seri Najib Razak berjiwa besar dengan meletak jawatan sebagai Presiden pada 2018.
“Insya-Allah tindakan berjiwa besar ini akan membantu kita mengambil langkah pertama untuk memulihkan dan menguatkan kembali parti UMNO yang kita semua cintai ini.
“Segala pengorbanan mereka akan dihargai dan Insya-Allah, perjuangan ini akan diteruskan,” katanya. – BERITA HARIAN