Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Warga emas buta tetap tunai tanggungjawab mengundi

Abu Bakar Abas bersama anak lelakinya, Mohd Amri, mengundi di SJKC Pei Yu, Kepala Batas. FOTO : NSTP

KEPALA BATAS: Meskipun tidak mampu melihat berikutan kedua-dua mata mempunyai masalah penglihatan sejak kecil, seorang warga emas tetap melaksanakan tanggungjawabnya sebagai rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Abu Bakar Abas, 74, tidak pernah terlepas mengundi setiap kali pilihan raya umum (PRU) diadakan dengan dibantu anak lelakinya, Mohd Amri Abu Bakar, 42.Katanya, bagi pengundi sepertinya dia boleh meminta bantuan anaknya untuk memangkah calon yang ingin dipilih menerusi kertas undi.

“Saya maklum kepada anak siapa yang ingin saya undi, kemudian dia yang akan tolong pangkah untuk saya.

“Jadi itu bukan alasan untuk saya tidak keluar mengundi walaupun saya tidak mampu melihat, tambahan pula ini adalah satu tanggungjawab kepada negara,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pei Yu, di sini hari ini.

Abu Bakar berkata, dia turut berterima kasih kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memudahkan proses bagi orang sepertinya.

“Saluran untuk warga emas memang terlalu ramai dan masing-masing dalam keadaan kesihatan tidak menentu.

“Namun, petugas di sini cekap melaksanakan tugasan dan menjadikan proses pengundian berjalan lancar,” katanya.

Bagi anaknya, Mohd Amri berkata, bapanya tidak pernah sekali pun melupakan tanggungjawab membuang undi walaupun dia serba kekurangan.

“Sayalah yang akan menjadi individu yang akan membawanya ke pusat mengundi dan tolong pangkah calon yang dipilih ayah. Syukur semuanya berjalan lancar dengan petugas yang banyak membantu,” katanya.

Parlimen Kepala Batas menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dari Barisan Nasional (BN), Dr Siti Mastura Muhammad (Perikatan Nasional), Hamidi Abu Hassan (PEJUANG) dan Muhammad Danial Abd Majeed (MUDA). – Berita Harian

Loading...
Terkini