Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Warga emas 100 tahun mengundi buat kali ke-15

AHMAD hadir mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena bagi pengundian kawasan Parlimen Tasek Gelugor. FOTO: AMINAH YUSOF

KEPALA BATAS: “Ini kali ke-15 Tok Wan mengundi,” kata warga emas, Ahmad Abdul Raof, 95, yang bersyukur dalam melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) hari ini.

Bekas anggota Tentera Udara Diraja (RAF) berpangkalan di Singapura yang berkhidmat pada 1947 itu melunaskan tanggungjawab mengundinya di Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena di sini walaupun berjalan menggunakan tongkat dengan ditemani cucunya.

Menurut Ahmad dia pernah berkhidmat sebagai anggota polis selama 15 tahun di beberapa negeri seperti Perak dan Kedah serta Pulau Pinang itu.

Ahmad yang kini menetap di Kampung Lubuk Meriam, Tasek Gelugor mendakwa usianya sudah mencecah 100 tahun kerana kelahirannya hanya didaftarkan pada usia belasan tahun.

“Alhamdulillah kali ini sudah masuk 15 kali Tok Wan mengundi dan Tok Wan rasa lega sangat sebab urusan dipermudahkan.

“Beza dahulu mengundi lebih kepada semangat patriotik dan melihat parti tetapi sekarang Tok Wan rasa lebih cenderung kepada memilih calon mana yang lebih layak mewakili kawasan kita,” katanya.

Sementara itu, pasangan pengantin dari Tasek Gelugor di sini bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sebaik sahaja selesai majlis akad nikah mereka di sebuah hotel di sini hari ini.

Sementara itu, pasangan pengantin dari Tasek Gelugor di sini bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sebaik sahaja selesai majlis akad nikah mereka di sebuah hotel di sini hari ini.

Amirul Ahmad Annuar, 31, berkata dia dan isterinya Nurul Izza Soaid, 31, sanggup beratur secara berasingan hampir sejam bermula 12.30 tengahari di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena bagi pengundian kawasan Parlimen Tasek Gelugor.

Amirul yang bekerja sebagai guru memberitahu dia tidak menyangka tarikh perkahwinan yang telah ditentukan sejak Jun lalu jatuh pada hari mengundi PRU-15 namun mengambil keputusan untuk meneruskannya kerana persiapan telah diatur rapi.

“Sebenarnya majlis akad nikah kami diadakan serentak dengan kenduri perkahwinan dan kami sanggup tidak menjamah makanan kerana ingin segera sampai ke tempat mengundi.

“Rumah saya dan isteri tidak begitu jauh dan kami adakan satu kenduri sahaja sebagai tanda kesyukuran selain menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini