comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Tun M, Siti Hasmah mengundi di SK Titi Gajah

DR Mahathir menunjukkan jarinya selepas selesai mengundi di SK Titi Gajah. – Foto: NSTP

ALOR SETAR: Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali tiba di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah pada jam 10.52 pagi untuk membuang undi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Dr Mahathir,97 , yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) selesai menunaikan tanggungjawab mengundi pada 10.55 pagi.

Penyandang kerusi Parlimen Langkawi itu menunaikan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat bagi kerusi Parlimen Kuala Kedah yang menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Selain penyandang yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Dr Azman Ismail, empat lagi calon yang turut merebut kerusi berkenaan ialah, Ulya Aqamah Husamudin (GTA), Datuk Dr Mashitah Ibrahim (Barisan Nasional), Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (Perikatan Nasional) serta Syed Araniri Syed Ahmad (Warisan).

Terdapat seramai 132,500 pemilih berdaftar yang layak mengundi di Parlimen Kuala Kedah dalam PRU-15 kali ini.

Pada PRU-14, kerusi Parlimen Kuala Kedah dimenangi Dr Azman Ismail dengan majoriti 13,481 undi.

Sebelum tiba di pusat pengundian, calon kerusi Parlimen Langkawi itu terlebih dahulu mengunjungi pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hangat dan Kuah di Langkawi.

Dr Mahathir kemudian dijadualkan melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kepala Batas dan Kampung Naga sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini