MELAKA: Menyedari tanggungjawab kepada masa hadapan negara, mangsa banjir di negeri ini tetap keluar mengundi walaupun ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Japerun Durian Tunggal di sini.
Aminah Ahmad, 65, berkata dia sudah berada di PPS itu sejak sembilan hari lalu, namun tetap sabar dan tabah sambil berharap masalah banjir di kediamannya di Kampung Durian Tunggal akan selesai.
Katanya, bagi menjalankan amanah sebagai rakyat Malaysia, dia sudah keluar mengundi awal pagi tadi yang dibawa oleh seorang daripada anaknya.
“Walaupun masih bersedih dengan situasi banjir, namun saya perlu memastikan tidak ketinggalan untuk mengundi yang hanya berlangsung dalam tempoh lima tahun.
“Setakat tahun ini sudah 14 kali rumah saya dinaiki air sementara sepanjang tahun lalu sebanyak 16 kali.”Apapun saya yakin usaha keras sedang dilakukan untuk memastikan kejadian sama tidak berulang lagi,” katanya.
Bagi Romlah Kasim, 64, dari Kampung Belimbing Dalam, walaupun keperluan di PPS mencukupi namun dia mengakui lebih selesa menetap di rumah sendiri.
“Saya juga sudah keluar mengundi pagi tadi bagi memastikan tanggungjawab itu segera diselesaikan walaupun dalam hujan renyai,” katanya.
Matsell Salim, 64, yang menetap di Kampung Pulau pula berkata, dia juga sudah mengundi di Mergong dengan menaiki motosikal pada sebelah pagi kerana bimbang hujan lebih lebat pada sebelah petang.
“Saya berharap banjir yang melanda rumah akan pulih dalam tempoh terdekat,” katanya yang sudah menetap di PPS itu sejak lima hari lalu.
Sementara itu, petugas Angkatan Pertahanan Awam di PPS berkenaan, Khairul Zaman Ramli, berkata setakat ini 10 keluarga ditempatkan di PPS itu membabitkan 44 penduduk keseluruhannya. – Berita Harian