PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) adalah pada Sabtu, 19 November 2022.
Manakala Hari Penamaan Calon pada Sabtu, 5 November 2022 dan Pengundian Awal pula pada Selasa, 15 November 2022.
Pengumuman tarikh-tarikh penting ini dibuat Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh di Menara SPR di sini, sebentar tadi.
Pada 10 Oktober 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah membubarkan Parlimen ke-14 bagi memberi laluan kepada pelaksanaan PRU-15 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada hari sebelumnya.
Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, PRU-15 bakal mempertandingkan 222 kerusi parlimen di seluruh negara.
Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Perlis, Pahang dan Perak turut akan membuang undi pada tarikh sama.
Manakala enam negeri lagi iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mengambil keputusan untuk tidak membubarkan DUN sehingga tahun depan.
Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor pula turut tidak membubarkan DUN kerana belum mencapai tempoh matang.
PRU-15 membabitkan 21,173,638 pemilih berdaftar.
Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-88927018 / 03-88880040 atau melalui aplikasi MySPR Semak.
Semakan boleh dibuat mulai 31 Oktober ini.