comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Pusat mengundi di kawasan banjir Sarawak ditukar ke lokasi lain

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. – Foto: NSTP

KUCHING: Pusat mengundi di beberapa kawasan yang dilanda banjir di utara Sarawak, ditukar ke lokasi lain bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata jumlah sebenar lokasi terbabit bagaimanapun masih belum diperoleh.

“Berdasarkan maklumat awal, Ketua Polis Daerah di lokasi terbabit banjir itu sudah berbincang dengan Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di pusat mengundi untuk melaksanakan langkah yang perlu berikutan pusat diwartakan berkenaan dilanda banjir.

“Kami akan memaklumkan maklumat penuh berhubung perkara itu, petang nanti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, di sini, hari ini.

Beberapa kawasan di Bahagian Limbang, termasuk Mendamit, Sundar dan Trusan, serta Hulu Baram di Bahagian Miri, ditenggelami banjir sejak Selasa lalu.

Sementara itu, Mohd Azman berkata, hingga jam 10 pagi tadi, tiada berlaku sebarang kejadian yang menggugat keselamatan atau mengganggu proses pilihan raya di seluruh negeri ini.

Namun pada hari terakhir kempen PRU-15 semalam, beliau berkata, tiga aktiviti ceramah parti didapati tidak mempunyai permit.

“Bagi hari terakhir kempen semalam, terdapat sebanyak 171 permit untuk mengadakan ceramah.

Bagaimanapun, tiga ceramah yang diadakan di Sarikei didapati tidak mempunyai permit, dan tindakan akan diambil mengikut akta berkaitan,” katanya.

Sepanjang tempoh kempen pilihan raya kali ini, beliau berkata, lapan individu ditahan kerana disyaki merosakkan bahan kempen. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini