Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Polis Langkawi perketat kawalan menjelang penamaan calon

Asisten Komisioner Shariman Ashaari meninjau persiapan menjelang hari penamaan calon di Langkawi, esok.

Oleh Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Polis daerah Langkawi akan menutup jalan di sekitar Pejabat Tanah dan Daerah langkawi yang akan dijadikan Pusat Penamaan Calon seawal jam 8 pagi esok, dan dibuka semula pada jam 1 tengahari.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shariman Ashaari berkata, orang ramai yang ingin melakukan perjalanan dari jeti atau arah bertentangan dinasihatkan menggunakan Jalan Penarak.

Penutupan jalan itu adalah bagi memudahcara pergerakan lebih 1000 penyokong calon yang bakal melakukan penamaan.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah sudah menggerakkan penugasan kepada 326 orang anggota termasuk bantuan lain. Kita sudah membahagikan kumpulan penyokong ini kepada empat kumpulan berdasarkan kepada data bakal calon yang sudah diperolehi.”

“Semua wakil calon Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang sudah dimaklumkan mengenai lokasi berkumpul dan pergerakan menuju pusat penamaan calon,” katanya.

Penyokong katanya akan dipisahkan dengan penghadang dan ditempatkan pada jarak yang selamat bagi mengelakkan sebarang provokasi atau suasana tidak tenteram.

“Penyokong juga ditegah dari membawa pembesar suara dan alat muzik bagi memastikan suasana harmoni sepanjang tempoh penamaan calon berlangsung.”

Shariman berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan persiapan menjelang hari penamaan calon, esok.

Untuk rekod, Parlimen Langkawi menjadi tumpuan kerana menampilkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijangka bertanding mempertahankan kerusi itu dibawah logo parti Pejuang.

BN telah menamakan Datuk Arminshah Siraj, PH – Zabidi Yahya dan PN – Datuk Suhaimi Abdullah sebagai bakal calon parti masing-masing.

Loading...
Terkini