KUALA LUMPUR: Parlimen Pandan merekodkan peratusan keluar mengundi 69.83 peratus, setakat jam 3 petang.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya kawasan itu, Julaiha Jamaludin, berkata jumlah berkenaan melonjak berbanding 42.6 peratus yang direkodkan pada jam 12 tengah hari dan 60.27 peratus jam 2 petang tadi.
Beliau berkata, berdasarkan pemantauan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kebanyakan pengundi memilih keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka.Ads by
“Ketika ini kebanyakan saluran satu dan dua Parlimen Pandan sudah kosong.
“Bermula tengah hari tadi, ramai pengundi kali pertama yang berusia antara 18 hingga 22 tahun hadir ke pusat mengundi,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.Julaiha berkata, sebanyak 248 saluran disediakan di Parlimen Pandan dengan membabitkan 37 pusat mengundi.
Daripada jumlah itu, katanya, pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Pandan Perdana merekodkan jumlah pengundi tertinggi menerusi penyediaan 21 saluran.
Beliau berkata, pusat mengundi itu turut merekodkan seramai 15 pengundi positif COVID-19, namun proses mengundi berjalan lancar dan terkawal.
“Boleh dikatakan hampir setiap 1,000 pengundi, ada seorang pesakit COVID-19 dan data ini hanya membabitkan 13,000 pengundi di SK Pandan Perdana,” katanya.
Katanya, hampir setiap pusat mengundi mempunyai kes COVID-19 namun jumlahnya belum diperoleh.
Mengulas lanjut mengenai cuaca baik ketika ini, katanya, peratusan keluar mengundi di Parlimen Pandan akan mencapai lebih 80 peratus dalam tempoh berbaki kurang sejam.
“Saya harap pengundi dapat datang sebelum pusat pengundi di tutup jam 6 petang,” katanya. – Berita Harian