![](https://media.buletintv3.my/2022/11/feAwGGMy-pp-cms-21.jpg)
Semenyih: Meskipun cacat penglihatan, Wong Shin Yee tidak melepaskan peluang hadir ke ke pusat mengundi Parlimen Hulu Langat di Sekolah Kebangsaan (SK) Semenyih, di sini, hari ini, bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Wong, 27, yang juga penulis sepenuh masa tidak hadir berseorangan, sebaliknya ditemani ibu, Foke Yoke Siong, 48, dan adiknya, Wong Min Shuian, 20.
Gadis yang cacat penglihatan sejak berumur tiga bulan itu berkata, pengalaman pertamanya mengundi adalah ketika PRU-14 pada 2018.
“Ini kali kedua saya jalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Proses berjalan lancar dengan bantuan ibu dan petugas di pusat mengundi.
“Lega rasanya kerana berpeluang menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya yang juga graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dan Penulisan Kreatif Universiti Nottingham, di sini.
Parlimen Hulu Langat menyaksikan saingan enam penjuru antara BN, Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air ( Pejuang), Warisan dan calon Bebas.
Pada PRU-14, Parlimen Hulu Langat dimenangi Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH) dengan 49,004 undi menewaskan calon BN Azman Ahmad yang memperoleh 23,580 undi dan calon, Pas Dr Che Rosli Che Mat (15,663 undi). – HARIAN METRO