KEPALA BATAS: Pasangan pengantin dari Tasek Gelugor di sini menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sebaik selesai akad nikah di sebuah hotel hari ini.
Amirul Ahmad Annuar, 31, berkata beliau dan isteri, Nurul Izza Soaid, 31, beratur berasingan hampir sejam bermula 12.30 tengah hari di Sekolah Menengah Kebangsaan Pokok Sena bagi pengundian kawasan Parlimen Tasek Gelugor.
Amirul yang bekerja sebagai guru tidak menyangka tarikh perkahwinan ditetapkan sejak Jun lalu jatuh pada hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Majlis akad nikah diadakan serentak dengan kenduri dan kami tidak menjamah makanan kerana ingin segera sampai ke tempat mengundi.”Rumah saya dan isteri tidak jauh dan kami adakan satu kenduri sahaja sebagai tanda kesyukuran selain menjimatkan masa,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Tidak ketinggalan mengundi, Ahmad Abdul Raof, 95, bekas anggota Tentera Udara Diraja (RAF) yang berpangkalan di Singapura dan berkhidmat selama tujuh tahun sejak berusia 21 tahun pada 1947.
Beliau kemudiannya berkhidmat sebagai anggota polis selama 15 tahun dan pernah bertugas di beberapa negeri seperti Perak dan Kedah selain Pulau Pinang.
Ahmad yang kini menetap di Kampung Lubuk Meriam, Tasek Gelugor berkata usianya sudah mencecah 100 tahun kerana kelahirannya hanya didaftarkan pada usia belasan tahun.
“Alhamdulillah kali ini sudah masuk 15 kali Tok Wan mengundi dan Tok Wan rasa lega sangat sebab urusan dipermudahkan.”Beza dahulu mengundi lebih kepada semangat patriotik dan melihat parti tetapi sekarang Tok Wan rasa lebih cenderung kepada memilih calon mana yang lebih layak mewakili kawasan kita,” katanya.
Parlimen Tasek Gelugor menyaksikan pertarungan lima penjuru antara Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (BERSATU) dengan Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor (BN), Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan (PH), Mohamad Akmal Azhar (WARISAN) dan Datuk Dr Abdul Halim Sher Jung (PEJUANG). – Berita Harian