comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: OKU kaki kudung bersemangat keluar mengundi

Sharifah Hamat bersama anak-anaknya selesai mengundi di pusat mengundi SK Gual Periok, Rantau Panjang hari ini. – Foto: NSTP

RANTAU PANJANG: Semangat untuk mengundi memberi kekuatan buat Sharifah Hamat, 53, yang berkerusi roda keluar melaksanakan tanggungjawab di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok, di sini, hari ini.

Sharifah yang kehilangan kedua-dua kaki akibat komplikasi kencing manis, antara pengundi terawal tiba di pusat mengundi bersama anak-anaknya.

Dia mengakui lega kerana sudah selesai menjalankan tanggungjawab dan tidak menjadikan keadaan kesihatan diri sebagai penghalang untuk keluar mengundi.

“Alhamdulillah, segala urusan dipermudahkan selain banyak dibantu oleh petugas.

Tambahan pula, orang kurang upaya seperti saya turut diberikan keutamaan di pusat mengundi.

“Saya sendiri banyak terlantar di katil sahaja kerana mudah penat tetapi demi tanggungjawab mengundi saya bangun untuk bersiap seawal 6.30 pagi, kerana mahu sampai awal ke pusat mengundi.

“Anak-anak membawa saya awal ke pusat mengundi kerana tidak mahu bersesak dengan orang ramai,” katanya.

Sharifah berkata, rumahnya turut digenangi air, selama seminggu namun Alhamdulillah pagi ini, banjir reda sekali gus membolehkan dia dan anak-anak keluar mengundi.

Sementara itu, bagi Mustafa Muda, 74, walaupun mempunyai masalah penglihatan, dia tetap keluar mengundi bersama isteri, Che Maskah Mohamad, 64, yang juga menghidap angin ahmar.

“Selagi masih berdaya, kami tetap keluar mengundi kerana mahu melaksanakan tanggungjawab.

Saya tidak pernah melepaskan peluang mengundi setiap kali PRU selain suka akan suasana dengan pengundi yang bersemangat menyokong parti masing-masing.

“Semoga PRU kali ini dapat memberi peluang kepada pemimpin terbaik untuk menang,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini