Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Naik van wakaf, pesakit Dystonia Cerebral Palsy tunai tanggungjawab mengundi

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

ARAU: Satu undi dilihat mampu membawa perubahan.

Itu yang mendorong pesakit Dystonia Cerebral Palsy pertama di Malaysia, Nor Adnisa Muhammad Nasir untuk keluar mengundi hari ini.

Nor Adnisa, 24 tahun, yang juga merupakan pengundi kali pertama dibawa ke Pusat Pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ahmad di Tambun Tulang, di sini, dengan menaiki Van Jenazah Wakaf Perlis (VJWP).

Bagaimanapun, Adnisa yang terlantar dan tidak berupaya untuk bangun diberi pengecualian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat pengundian dari dalam kenderaan dengan ditemani ibunya, Syuhaida Saad.

“SPR beritahu ini adalah kes terpencil. Walaupun ambil masa sikit untuk siapkan anak istimewa (Adnisa) ni tapi Alhamdulillah sebagai ibu saya berasa puas dapat membawa dia melaksanakan tanggungjawab mengundi.

Pesakit Dystonia Cerebral Palsy, Nor Adnisa Muhammad Nasir mengundi dalam Van Jenazah Wakaf Perlis (VJWP)

“Dia faham bila kita beritahu 19 haribulan ni negara kita akan mengundi, pilih kerajaan. Dan dia pun memang teruja bila diberitahu dia akan mengundi kali ni (PRU15),” kata ibunya kepada Buletin TV3.

Mereka selesai mengundi pada jam 11.30 pagi.

Sementara itu, aktivis masyarakat Hanizan Hadrus berkata, ibu Adnisa menghubunginya untuk menggunakan khidmat VJMP untuk membawa Adnisa ke tempat pengundian dari rumah mereka di Taman Cempaka Putih.

“Alhamdulillah, urusan kami dipermudahkan. Selepas ini saya akan mengambil seorang lagi pesakit kronik di Guar Jentik untuk membawanya ke pusat pengundian,” katanya.

Loading...
Terkini