comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Maritim Malaysia tingkat kawalan perairan negara

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mempertingkatkan pemantauan dan kawalan keselamatan perairan negara menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, dalam tempoh seminggu ini, terdapat beberapa tangkapan telah dilakukan membabitkan cubaan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Selangor.

“Maritim Malaysia memberi fokus kepada kawalan keselamatan di persempadanan perairan negara seperti biasa. Ancaman jenayah rentas sempadan mulai rancak memandangkan ekonomi negara kian pulih ketika ini.

“Tangkapan turut membabitkan aktiviti penyeludupan dadah di utara perairan negara manakala di Sabah dan Sarawak terkawal dengan hanya terdapat sebilangan kecil kes perlanggaran undang-undang membabitkan komuniti tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah merangka beberapa pelan operasi khas sebagai usaha mencegah aktiviti jenayah maritim sama ada bersifat domestik atau jenayah rentas sempadan.

Selain itu, menurutnya, Maritim Malaysia turut bersedia untuk melakukan tugas-tugas mencari dan menyelamat (CARILAMAT) sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

Berhubung proses pengundian PRU-15, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil berkata, sebahagian kecil daripada pegawai dan anggota penguatkuasanya akan membuang undi secara pos terutama bagi mereka yang bertugas di luar kawasan undi masing-masing, manakala selebihnya akan membuang undi seperti biasa pada 19 November ini.

“Maritim Malaysia juga mengingatkan kepada komuniti maritim di seluruh negara agar bersama-sama memastikan perairan negara selamat dengan membantu pihak berkuasa khususnya Maritim Malaysia dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut dengan segera menerusi talian MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia di talian 03-89957820 atau whatsapp 019-26110833,” katanya.

Loading...
Terkini