comscore
Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Kecoh pusat mengundi tutup awal

Tangkap layar video menunjukkan pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang, Kuala Pilah, di sini ditutup seawal jam 2 petang. – Foto: Ihsan pembaca

KUALA PILAH: Tular tiga video memaparkan pengundi tidak berpuas hati apabila pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang, di sini ditutup seawal jam 2 petang.

Dalam video yang dirakam orang awam itu, pintu pagar pusat mengundi berkenaan ditutup dan terdapat beberapa orang awam yang menunggu untuk masuk ke dalam dewan itu untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Terdapat pengundi yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat masuk dan berlaku sedikit kekecohan berlaku kerana mendakwa sepatutnya pusat mengundi dibuka sehingga jam 6 petang.

Bagaimanapun, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap, berkata berdasarkan Borang 8 Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), beberapa pusat mengundi ditutup lebih awal termasuk di Kampung Melang.

“Pusat mengundi di Balai Raya Kampung Melang memang ditutup awal iaitu jam 2 petang. Perkara itu memang sudah diwartakan SPR dan ia boleh dirujuk di borang 8.

“Kami petugas hanya menjalankan arahan diberikan SPR. Jika pusat mengundi itu dibuka sehingga jam 6 seperti pusat lain, ia mungkin mendapat bantahan daripada pihak SPR sendiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Faizal berkata, dia juga kesal dengan insiden itu sehingga menyebabkan pengundi tiada kesempatan untuk menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih calon pilihan masing-masing.

“Bagaimanapun, ia memang sudah ditetapkan begitu. Bukan di Kampung Melang sahaja, malah terdapat pusat mengundi yang ditutup lebih awal iaitu jam 2 dan 4 petang.

“Pengundi juga sepatutnya lebih cakna dengan pusat mengundi mereka dan keluar mengundi lebih awal,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini