Tumpuan :
Nasional

PRU-15: Harap undi ini selesaikan masalah banjir Orang Asli

Masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Melut membina pondok di kawasan tinggi bagi mengelak banjir. FOTO SAMADI AHMAD.

SEPANG: Biarpun kediaman masih ditenggelami banjir namun ia bukan alasan buat masyarakat Orang Asli di Kampung Sungai Melut di sini, menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tadi.

Tinjauan ke kawasan kampung suku Temuan itu mendapati beberapa rumah penduduk masih ditenggelami banjir sedalam 0.3 meter.Kebanyakan mangsa terpaksa menghuni pondok sementara yang dibina di kawasan tinggi.

Suri rumah, Suria Esai, 50, berkata, ini adalah kali ke dua dia mengundi di pusat mengundi sekolah kebangsaan berhampiran.Menurutnya, sebagai rakyat Malaysia, dia menyedari tanggungjawab itu perlu dilaksanakan bagi memilih pemimpin yang berupaya membentuk kerajaan yang baharu.

Katanya, PRU-15 ini juga penting bagi memilih calon yang boleh membantu menyelesaikan masalah dihadapi masyarakat Orang Asli ketika ini.

“Kami mahu pemimpin yang dipilih nanti dapat menyelesaikan masalah banjir kilat yang sering berlaku di sini. Penduduk juga berhadapan kerugian besar apabila barangan elektrik dan perabot musnah kerana tidak sempat diselamatkan,” katanya.

Khamis lalu, beberapa kawasan di Sepang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat menyebabkan air Sungai Langat melimpah masuk ke kawasan penduduk selepas ban pecah.

Sementara itu, Suri Kurus, 54, berkata, dia menunaikan tanggungjawab mengundi sebaik pusat undian dibuka pada 8 pagi semalam.

“Kami harap wakil Parlimen yang dipilih bukan hanya sekadar bercakap kosong untuk meraih undi sebaliknya perlu membuktikan bagi menunjukkan keikhlasan mereka bertanding pada PRU-15,” katanya. – Harian Metro

Loading...
Terkini