Oleh Kumaran Rajamoney
PADANG TERAP: Calon Parlimen Padang Terap berpuas hati dengan perancangan dibuat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memudahcara proses pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata penyediaan lokasi yang sesuai bagi warga emas mengundi memudahkan golongan itu menunaikan tanggungjawab.
“SPR memastikan saluran bagi warga emas ditempatkan di tingkat bawah, dan mudah diakses. Saya lihat pengundi berpuas hati dengan susunan ini.”
“Cuaca yang baik pada pagi ini membolehkan ramai pengundi keluar awal bagi menunaikan tanggingjawab mereka. Ada yang sudah beratur sebelum jam 8 pagi lagi,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di Sekolah Kebangsaan Naka, di sini.
Turut hadir, isterinya Datin Seri Noraini Abdullah.
Calon Perikatan Nasional (PN) Padang Terap, Nurul Amin Hamid dan isteri, Bushra Mazani turut mengundi di sekolah yang sama.
“Perjalanan pengundian hari ini, saya lihat sangar harmoni berbanding yang sebelumnya. Rakyat sudah matang berpolitik, dan saya lihat perjalanan pengundian adalah lebih kepada hubungan kekeluargaan.”
“Saya ada buat semakan dengan SPR, dan dimaklumkan proses pengundian berjalan lancar tanpa sebarang permasalahan. Alhamdulillah,” katanya.
Untuk rekod, Kedah mencatatkan lebih 1.5 juta pengundi berdaftar melibatkan 15 kerusi parlimen.