
KUALA LUMPUR: Bukan saja rapat sejak kecil, tiga sahabat yang bisu dan pekak turut menunaikan tanggungjawab mengundi di lokasi sama.
Shahfez Mohd Shah, 40, Intan Liana Azmi, 39, serta Mohd Faizal Abu Osman, 39, yang mengundi untuk kerusi Parlimen Titiwangsa mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri di siniShafez berkata, dia datang bersama isterinya yang juga pekak dan bisu, Ayu Nurul Syuhada Mohd Fauzi, 33, sebelum bertemu dua lagi rakan istimewanya di pusat mengundi itu.
“Masa pertama kali dulu, saya rasa gementar sedikit tetapi kali ini, Alhamdulillah semuanya lancar.
“Istimewanya hari ini isteri dan sahabat saya turut mengundi di tempat sama,” katanya yang sudah tiga kali mengundi.
Rakannya, Intan Liana berkata, dia datang dari Cheras dan tiba di pusat mengundi jam 8 pagi.
“Syukur dapat mengundi apatah lagi ada sahabat saya turut mengundi di sini. Prosesnya juga mudah kerana dibantu petugas.
“Saya harap kerajaan dibentuk nanti akan membela dan tidak meminggirkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU),” katanya.
Sementara itu, Norfaizah Abu Osman, 37, pula berbesar hati dapat menjadi pengantara dan penterjemah untuk abangnya, Mohd Faizal dan rakan istimewanya itu.
“Mereka bertiga memang akrab sejak kecil dan walaupun bersekolah menengah berlainan, persahabatan mereka masih kekal sampai sekarang.
“Biasanya memang saya akan menemani abang untuk ke mana-mana urusan rasmi untuk menjadi penterjemahnya dengan orang sekeliling.
“Sebenarnya saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bahasa isyarat, tetapi saya pelajarinya sejak kecil kerana membesar bersama abang,” katanya.
Kerusi Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan calon Pakatan Harapan (PH) Khalid Abdul Samad, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta Dr Rosni Adam yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu Johari yang ditemani isterinya, Datin Seri Zurwati Haslinda Zainal Bahry tiba di pusat itu jam 8.55 pagi untuk membuang undi di saluran tiga dan disambut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.
Untuk rekod, pusat mengundi SK Taman Maluri menyediakan sembilan saluran dan secara keseluruhannya, parlimen itu menyaksikan 80,747 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – HARIAN METRO