comscore
Tumpuan :
Nasional

“Protokol Tidak Menghalang Kasih Sayang Abah Kepada Saya ” – Nik Mohamad Adhar

PETALING JAYA : Gambar dan video yang tular memaparkan warga emas berlari menyelamatkan seorang anak muda ketika upacara perbarisan menyentuh hati semua rakyat Malaysia hari ini.

Pembantu penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi, 22, menceritakan kejadian itu kepada TV3.

Nik Adhar tidak menyangka bapa saudaranya, Abdul Aziz Ya’cob, 60, sanggup berlari berkaki ayam semata-mata mahu membantunya bangun ketika upacara perbarisan itu.

Anak bongsu dari empat adik beradik itu, mengakui tersentuh dan sebak malah perasaan itu dilihat turut memberi kesan kepada rakan seangkatannya.

“Waktu pitam fikiran saya kosong. Saya dah pitam kali pertama, kali kedua pitam abah peluk dari belakang. Saya dah nak menangis waktu itu tapi simpan dalam hati. Saya cakap dekat abah saya boleh buat, boleh berdiri lagi.

“Saya kena ikut protokol, tapi kasih sayang abah tiada protokolnya,” katanya kepada TV3.

Menurut Nik Adhar, abah dan mak Rosmawati Ismail, 53, telah menjaganya sejak beliau berumur tiga tahun.

Beliau membesar sebagai anak yatim piatu namun nilai kasih sayang diberikan kedua bapa dan ibu saudaranya dipanggil ‘ abah dan mak’ itu tiada tolok bandingnya.

“Umur tiga bulan mak dah meninggal dunia. Bila saya tujuh tahun abah pula dijemput Ilahi,” katanya.

Anak kelahiran Tumpat, Kelantan itu menyimpan impian bekerja dalam pasukan beruniform sejak kecil lagi.

Rezekinya kini bertugas sebagai penguatkuasa KPDNHEP di cawangan Tawau.

Pagi tadi, Nik Adhar turut di anugerahkan pelatih kategori jasmani terbaik antara 70 pelatih.

Loading...
Terkini