Oleh: Vinsla Santiran
KUALA LUMPUR: Pemeteraian Protokol ASEAN 5 mengenai Hak Singgah Sendiri antara titik dalam wilayah negara Anggota ASEAN mampu meningkatkan keterhubungan laluan udara antara negara anggota ASEAN sekali gus merancakkan perdagangan di rantau ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, protokol itu dijangka akan berkuatkuasa tahun depan sejurus menerima persetujuan daripada kesemua negara anggota ASEAN.
Beliau berkata dengan adanya Protokol ASEAN 5 ini, syarikat-syarikat penerbangan boleh meneruskan penerbangan dari satu destinasi ke destinasi lain di negara-negara anggota.
“Dulu penerbangan pergi satu tempat, dia pulang ke tempat asal, itu sahaja penerbangan yang dibenarkan tetapi dengan adanya protokol baru ini, mereka (syarikat penerbangan) boleh stopover dan pergi satu lagi point seterusnya.
“Contohnya kita pergi ke Singapura daripada penerbangan Kuala Lumpur, maka daripada Singapura itu kita boleh meneruskan penerbangan ke Bali, Indonesia.” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena The 30th ASEAN Transport Ministers (ATM) and The 58th Senior Transport Officials (STOM) Meetings di sini hari ini.
“Selepas semua negara (ASEAN) tandatangan ia akan berkuatkuasa, di Kuala Lumpur di sini kita sudah muktamadkan dan banyak negara akan tandatangan (protokol ini) umpamanya Vietnam sebentar lagi,” katanya lagi.
Katanya, dasar itu dilihat akan memudahkan dan memberi manfaat kepada syarikat semua penerbangan di Malaysia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.