comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Protes di Bangladesh: Rakyat Malaysia termasuk pelajar dibawa pulang esok

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di Bangladesh akan dibawa pulang esok susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan  berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi sudah memberi ‘restu’ supaya pelan evakuasi digerakkan segera.

“Seperti mana kita tahu situasi keselamatan di sana tidak berapa baik dan penilaian kita buat ketika ini dan kita mencapai kata putus bahawa pelan evakuasi perlu digerakkan.

“Kita akan bawa balik pelajar kita di Bangladesh dan juga warga Malaysia yang kerja di sana serta kaum keluarga petugas di kedutaan kita,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Persatuan Ibu Bapa Pelajar Malaysia di Bangladesh kira-kira sejam di pejabatnya.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamad berkata, seramai 192 rakyat Malaysia masih berada di Bangladesh yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.

Ia terdiri daripada 124 pelajar, 10 keluarga kakitangan kedutaan dan baki 58 orang bukan pelajar.

Jelasnya, semua mereka akan dibawa pulang menaiki pesawat komersial berkapasiti 350 orang yang dijadual mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal di Dhaka pada jam 10 pagi waktu tempatan (12 tengah hari waktu Malaysia).

Proses evakuasi berkenaan dikelolakan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita sudah membuat urusan dengan pengurusan AirAsia, saya sudah minta mereka untuk bantu kerajaan bawa balik anak-anak kita dan warga Malaysia yang ada di sana.

“Kita akan hantar pesawat berkapasiti 350 orang, kita bawa pesawat besar sebab jika ada saat akhir warga Malaysia yang tidak berada dalam radar kita, kerana kita dapati ada juga beberapa juruterbang rakyat Malaysia yang bertugas dengan syarikat penerbangan di sana yang ada keluarga dan memohon untuk balik bersama,” katanya.

Menurutnya, pihak kedutaan Malaysia di Dhaka hari ini sedang berusaha mengumpul semua rakyat Malaysia termasuk pelajar terbabit dengan bantuan pihak keselamatan Bangladesh untuk dibawa ke bangunan kedutaan sebelum dibawa pulang esok.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini