Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: “Kami sangat lega apabila mendengar berita ini. Bolehlah tidur lena setelah tiga empat hari tak tidur lena”
Demikian reaksi keluarga pelajar Malaysia yang terperangkap di Bangladesh selepas kerajaan mengaktifkan pelan evakuasi bagi membawa pulang kesemua mereka mulai esok.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Pelajar Malaysia di Bangladesh, Mejar Jeneral (B) Nubli Hashim berkata, mereka merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan terutama Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana menggerakkan pelan tersebut.
“Terus terang saya katakan proses ini sangat cepat pada kami kerana kita baru sahaja hari ini hantar permohonan, belum sampai lagi ke pejabat Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, kita di pondok pengawal tadi telah dimaklumkan pesawat (evakuasi) akan sampai di Dhaka esok jam 10 pagi.
“Tidak timbul masalah kata kerajaan tidak ambil berat tentang anak-anak di Dhaka. Kami sangat lega apabila mendengar berita ini. Bolehlah tidur lena setelah tiga empat hari tak tidur lena.
“Lepas ini, insya-Allah petang ini dah boleh tidur lena. Terima kasih kepada kerajaan Malaysia, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Luar, kakitangan Wisma Putra semua yang terlibat dalam proses evakuasi ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Mohamad, di sini hari ini.
Terdahulu, Menteri Luar mengumumkan rakyat Malaysia termasuk pelajar yang berada di Bangladesh akan dibawa pulang esok susulan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu setelah Perdana Menteri memberi ‘restu’ supaya pelan evakuasi digerakkan segera pagi tadi.
Seramai 192 rakyat Malaysia masih berada di Bangladesh yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka terdiri daripada 124 pelajar, 10 keluarga kakitangan kedutaan dan baki 58 orang, bukan pelajar.
Mengulas lanjut, menurut Nubli, kesemua pelajar berada dalam keadaan sihat dan masih mempunyai bekalan makanan.
“Pelajar yang duduk di Mymensingh Medical College (MMC) kalau lambat sikit kita bawa keluar mereka, mungkin kedutaan kena hantar makanan. Alhamdulillah pagi tadi staf di kedutaan telah menghantar makanan ke kolej kediaman mereka. Kami sangat lega,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pelajar Malaysia di Bangladesh, Ahmad Wafiq Aqil Kamarul, 23, berkata, beliau pulang ke tanah air sehari sebelum kemuncak ketegangan protes itu.
Bagaimanapun, pelajar perubatan tahun keempat di MMC terbabit melahirkan rasa bimbang dengan keadaan rakannya di negara tersebut.
“Saya memang sangat lega (dengan proses evakuasi) dan berterima kasih kepada kerajaan, Kementerian Luar dan hargai kerjasama daripada semua pihak,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Pelajar Malaysia terkesan di Bangladesh dipindah ke bangunan Suruhanjaya Tinggi
- Keluarga harap pelajar Malaysia di Bangladesh dibawa pulang segera
- [VIDEO] Protes di Bangladesh: Rakyat Malaysia termasuk pelajar dibawa pulang esok
- Rusuhan Bangladesh: India pindahkan 4,500 pelajar dari Dhaka
- Protes Bangladesh: Jangan tokok tambah cetus panik, keselamatan pelajar jadi keutamaan kerajaan
- Protes di Bangladesh: Bekalan makanan, komunikasi internet semakin terhad – Pelajar Malaysia