Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menyelar segelintir pihak yang mendakwa kerajaan khususnya Wisma Putra ‘lepas tangan’ dalam isu kebajikan dan keselamatan pelajar Malaysia di Bangladesh.
Beliau meminta pihak berkenaan supaya bertenang dan tidak menokok tambah keadaan di negara berkenaan sehingga mencetuskan panik yang tidak sepatutnya.
“Saya berharap pihak-pihak yang menokok tambah berita bahawa kami Kementerian Luar dan pihak kedutaan tak buat apa-apa supaya bertenang. Daripada hari pertama (protes) ibu pejabat Wisma Putra berurusan dengan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka.
“Saya sendiri berurusan setiap hari, kadang-kadang satu hari sampai dua, tiga kali. Semasa komunikasi masih baik lagi sebelum komunikasi ini di peringkat terendah sekarang tak dapat nak berkomunikasi, cuma pada tengah malam boleh (berkomunikasi).
“Tidak timbul soal mengatakan bahawa kami membiarkan anak-anak kita di sana,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Ibu Bapa Pelajar Malaysia di Bangladesh di pejabatnya, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, dalam pertemuan kira-kira sejam itu, Mohamad menerangkan tindakan yang diambil kerajaan termasuk pelan evakuasi untuk membawa pulang rakyat termasuk pelajar Malaysia di Bangladesh.
Beliau turut menasihati ibu bapa supaya tidak risau kerana kebajikan dan keselamatan anak mereka di negara berkenaan adalah keutamaan kerajaan.
“Mereka (pelajar) selamat, tiada apa-apa cuma panik anak-anak. Mereka panik dan menghubungi ibu bapa. Tapi kepada mereka yang kat luar itu, jangan tokok tambah, janganlah buat nasi tambah, masuk sambal belacan, macam-macam, susahlah.
“Bukan kami biarkan (pelajar), kami tak biarkan terutama keselamatan anak-anak kita yang berada di sana, insya-Allah,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa