Tumpuan :
Nasional

Proses ujian Aerotrain di KLIA masih berjalan

Oleh: Farah Nabilah Wazer

PUTRAJAYA: Proses penyelesaian projek Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain), masih berada di peringkat ujian pelbagai fasa.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihak kontraktor sedang menjalankan ujian dinamik serta beberapa ujian lain bagi memastikan sistem berfungsi dengan lancar dan selamat sebelum ia boleh digunakan sepenuhnya.

“Ujian itu masih berjalan dan kita belum pastikan tarikh siap ujian itu sebab ada banyak proses. Sekarang ‘dynamic testing’ sedang dijalankan dan seterusnya akan dilaksanakan ‘system integration’ sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk ujian terakhir,” katanya.

Tambahnya, setakat ini tiada tarikh tetap untuk Aerotrain beroperasi.

Tahun lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan langkah menggantikan sistem transit automatik Aerotrain dengan sistem baharu.

Penggantian itu dijangka meningkatkan mutu perkhidmatan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain mengurangkan risiko gangguan operasi yang boleh menjejaskan kelancaran perjalanan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini