comscore
Tumpuan :
Nasional

Proses permohonan sijil halal dipendekkan kepada 23 hari

PUTRAJAYA: Prosedur permohonan dan pembaharuan sijil halal dipermudahkan dengan keputusan wajib diberikan dalam tempoh 23 hari bekerja.

Keputusan itu dibuat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu susulan banyak aduan diterima bahawa kelulusan dan pengeluaran sijil halal dibuat dalam tempoh yang terlalu panjang.

“Ada yang mengadu bahawa pengeluaran sijil halal terlalu lewat sehingga mengakibatkan kelewatan dalam pengedaran produk halal untuk pasaran domestik dan luar negara, malah ada yang mendakwa sijil halal dikeluarkan selepas sembilan bulan daripada tarikh permohonan dibuat.

“Hari ini, majlis membuat keputusan bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Halal Development Corporation Bhd (HDC) bekerjasama secara intim bagi memendekkan tempoh permohonan itu kepada 23 hari bekerja sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Pembangunan Industri Halal Malaysia di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sebagai permulaan kepada keputusan itu, HDC serta pihak berkaitan akan melaksanakan proses permohonan baharu sijil halal menerusi ‘proof of concept’ (POC) membabitkan lima premis perhotelan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi melihat kelancaran proses berkenaan.

“Kita juga akan menganjurkan bengkel untuk memberi penerangan mengenai prosedur permohonan berkenaan pada 9 Oktober ini di Universiti Malaya (UM).

“Jadi saya menjemput semua pihak terutama pemegang taruh untuk hadir menyertai bengkel berkenaan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat bersetuju untuk memperkasakan diplomasi halal dengan kerjasama Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mempromosikan produk halal tempatan ke luar negara.

“Kita harus keluar dari kepompong pasaran domestik, Kementerian Luar dan MITI akan perkasa diplomasi halal secara bersama.

“Jadi dalam lawatan rasmi atau kerja kelak, menteri serta Perdana Menteri akan terbabit (mempromosi) produk dan perkhidmatan halal tempatan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini