KUALA LUMPUR: Proses penggantian lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang telah dimulakan secara beperingkat.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, PPR itu mempunyai 38 lif secara keseluruhan, dan 18 unit sedang diganti, sementara 14 unit daripada 20 lif berfungsi dengan baik ketika ini.
“Susulan insiden lif overshoot baru-baru ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah mengarahkan penutupan dua unit lif di Blok D sementara satu unit sedang menjalani proses penggantian,” ujarnya.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, hasil pertemuan bersama penduduk semalam mendapati kontraktor telah menghantar permohonan pemeriksaan bagi kelulusan satu lif di Blok D pada 30 Disember.
“JKKP dijangka menjalankan pemeriksaan dan memberikan kelulusan Permit Mesin Angkut (PMA) dalam minggu ini setelah pre-inspection dilaksanakan.
“Keselamatan penduduk adalah keutamaan kami. DBKL akan terus memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang gagal mematuhi jadual kerja,” katanya.
Pada masa sama, DBKL menyeru penduduk untuk terus memberi kerjasama dalam usaha menyelesaikan masalah berkenaan.
Semalam, Buletin TV3 melaporkan Ahli Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan menjalankan pemeriksaan ke atas lif baharu di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang setelah permohonan dibuat oleh kontraktor dilantik.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berkata, fasa pertama meliputi penggantian 18 unit lif, manakala fasa kedua sebanyak 20 unit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.