Tumpuan :
Nasional

Proses kicap depan tandas, 2 kilang kicap dan sos diarah ditutup 14 hari

Perapan kacang soya diletakkan di atas lantai berlumut di hadapan tandas dan bilik air di kilang kicap Jalan Patani ketika pemeriksaan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut. FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Dua kilang pemprosesan kicap dan sos cili secara tradisional di daerah Timur Laut di sini, diarah tutup serta-merta selama 14 hari berikutan penemuan najis tikus di sekitar premis.

Lebih mengejutkan, notis penutupan terbaru dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kepada kedua-dua kilang kicap dan sos berusia lebih 120 tahun itu bukan kali pertama, sebaliknya premis itu pernah diberi arahan sama sebanyak tujuh kali dalam tempoh 10 tahun ini.

Pemeriksaan pertama dijalankan pasukan penguatkuasaan kesihatan terhadap kilang di Jalan Patani itu mendapati kacang soya yang diperap dalam bakul, diletakkan di atas lantai di hadapan tandas dan bilik air.

Selain keadaan lantainya yang berlumut dan menjijikkan, turut ditemukan ialah najis tikus dalam stor penyimpanan bahan mentah dan rak barangan, manakala di rak simpanan sos cili pula ditemukan perangkap tikus serta persekitaran yang tidak memuaskan.

FOTO: NSTP

Pekerja premis yang berusia 60-an mendakwa, pemilik kilang kini berada di luar negara dan dia baru enam bulan bekerja di situ.

“Saya bekerja bagi memastikan stok diberi kepada pelanggan dan tidak mencampuri urusan perniagaan di sini.

“Kicap, sos cili dan taucu yang diproses di sini hanya bagi pasaran negeri di utara,” katanya ketika ditemui.

Pemeriksaan terhadap kilang kedua di Jalan CY Choy turut ditemukan najis tikus berhampiran rak pemprosesan sos cili, manakala pekerja lelaki di kilang itu tidak memakai baju ketika bertugas, malah lokasi perapan kicap dan sos cili juga berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Pemilik premis yang enggan dikenali berkata, kicap, sos cili dan cuka yang diproses secara tradisional itu dipasarkan di sekitar Pulau Pinang dan sering dijadikan ole-ole pengunjung.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran, Mohd Zulhairel Mat Yusoff berkata, Operasi Bersepadu Undang-undang Kesihatan Awam itu juga turut dijalankan di seluruh negeri.

“Kita dapati persekitaran kedua-dua premis tidak memuaskan, malah kilang kicap ini sudah beberapa kali diberi notis penutupan atas kesalahan sama.

“Kali ini, kita lihat bahan mentah di kedua-dua premis diletakkan di atas lantai yang kotor, selain penggunaan bekas gentian bagi perapan juga dikhuatiri reput dan tidak sesuai digunakan,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini