comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Proses kenal pasti mayat akan mengambil masa kerana ada yang tidak sempurna – Dr Zaliha

 

KLANG: Terdapat mayat mangsa pesawat ringan yang terhempas berhampiran kawasan perumahan Elmina di Seksyen U16, Shah Alam, petang tadi, yang boleh dikenal pasti dan ada juga yang tidak sempurna iaitu tinggal cebisan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, proses mengenal pasti mayat mangsa akan mengambil masa berikutan ada di antaranya dalam keadaan tidak sempurna.

“Yang kita dengar ada mayat yang boleh dicam dan ada (mayat) yang perlukan masa (untuk dikenal pasti) kerana ada cebisan dan sebagainya.

“Biasanya proses (bedah siasat) akan dibuat secepat mungkin dan tidak semua ahli keluarga mangsa kita akan bagi buat pengecaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni ahli keluarga mangsa nahas terbabit di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, hari ini.

Dr Zaliha berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kejadian itu kira-kira jam 3 petang tadi sebelum sepasukan pegawai kesihatan dikejarkan ke lokasi.

Mayat mangsa nahas pesawat di Elmina dibawa keluar dari lokasi dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah.

“Kita hantar dua pasukan dari (hospital) Sungai Buloh dan satu pasukan dari Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling ke lokasi.

“Kita juga letakkan pasukan forensik untuk bantu pasukan bomba dan polis di lokasi dan kita masih menunggu perkembangan terkini di sana,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menyediakan pasukan bagi memberi sokongan kepada ahli keluarga mangsa nahas itu termasuk yang sudah berada di hospital ini.

“Kita ada pasukan daripada jabatan psikiatri untuk membantu ahli keluarga mangsa. Pada masa sama, kita akan tunggu di sini untuk proses bedah siasat.

“Bagi proses pengecaman, kita tidak tahu keadaan (mayat) yang diterima. Selepas selesai semua proses ini, baru kita serahkan kepada ahli keluarga,” katanya yang memaklumkan tidak tahu berapa lama masa diambil bagi proses bedah siasat.

Katanya, laporan terakhir diterima pihaknya daripada pasukan di lapangan adalah mereka masih dalam proses mencari dan pemulihan.

“Pasukan ini akan diketuai oleh Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi membabitkan antara 20 hingga 30 orang.

“Kita harap proses ini dapat diselesaikan secepat mungkin supaya ahli keluarga dapat membawa balik (jenazah) mangsa,” katanya.

Loading...
Terkini