Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
DUNGUN: Susulan kes tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut manakala seorang lagi parah, dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan sebuah SUV, malam tadi.
Bedah siasat ke atas ketiga-tiga mayat pelajar berkenaan sedang dilakukan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Dungun.
Ketika ini suasana pilu menyelubungi pekarangan Jabatan Forensik.
Ahli keluarga, sanak saudara, dan warga UiTM turut berada di Unit Perubatan Forensik hospital tersebut.
Jamaludin Hussein, 53 tahun dan Isteri Norma Mohammed Nor, 52 tahun merupakan ibu bapa kepada Khairil Anuar ketika ditemui gagal menahan sebak.
Menurut Jamaludin, dia amat terkejut dengan nahas yang berlaku sehingga mengorbankan nyawa anaknya.
“Saya dah kehilangan dua anak lelaki, tujuh tahun lalu anak lelaki sulong saya juga meninggal dunia akibat kemalangan dan kini anak bongsu saya pula”.
“Jenazah Akhmal akan dikebumikan di UK Perdana”, katanya.
Proses bedah siasat ke atas mayat 3 penuntut UiTM Dungun sedang dijalankan
Ahli keluarga gagal menahan sebak semasa menunggu di pekarangan Jabatan Forensik, Hospital Dungun pic.twitter.com/E5omyQXX6o
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) October 10, 2024
Selepas proses bedah siasat selesai, ketiga-tiga jenazah akan dituntut keluarga dan akan dibawa ke Pusat Hidayah Universiti itu untuk disembahyangkan sebelum dibawa ke kampung halaman masing-masing.
Jenazah Ku Adib Aizad Ku Azmi akan dikebumikan di tanah perkuburan Raudatul Aliya, Saujana Utama, Sungai Buluh Selangor, manakala jenazah Akmal Tukirin dijangka dikebumikan di Muar, Johor.
Dalam kejadian 7.20 malam tadi di hadapan Universiti berkenaan berhampiran Kampung Sura Hujung, Ku Adib Aizad Ku Azmi, Khairil Anuar Jamaludin, masing-masing berusia 20 tahun dan Akmal Tukirin, 25 tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Rakan mereka yang parah, Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuab, 20 tahun, dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Laporan awal mendapati nahas melibatkan dua motosikal dan sebuah SUV dipandu seorang wanita.
Kereta berkenaan dipercayai merempuh kedua-dua motosikal itu dari arah belakang ketika dalam perjalanan ke pusat pengajian itu.
Rempuhan tersebut menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke dalam longkang dan tiga lagi mangsa tercampak atas jalan.
Difahamkan, polis telah membawa suspek ke Mahkamah Kuala Terengganu pagi ini untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.