TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melancarkan Projek Ternakan Ikan Sangkar Tilapia di bawah Geran Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@Unimadani) 17 Januari lalu sebagai inisiatif memperkasakan komuniti asnaf dan membantu mereka menjana pendapatan melalui kemahiran keusahawanan dan TVET.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, berkata projek yang dirasmikan di Tasik Glamping, Kampus Sultan Azlan Shah, UPSI itu bertujuan memanfaatkan kepakaran universiti untuk meningkatkan taraf hidup komuniti asnaf dalam kalangan pelajar UPSI dan penduduk Muallim.
“Projek ini mencerminkan komitmen UPSI untuk menyokong pembangunan komuniti melalui pemindahan ilmu dan kemahiran.
“Ia adalah contoh nyata bagaimana universiti boleh memainkan peranan proaktif dalam membantu masyarakat setempat, khususnya golongan asnaf, untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.
Menurut beliau, projek itu turut menyumbang kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan bilangan belia yang tidak bekerja atau tidak melanjutkan pelajaran.
“Latihan yang diberikan melalui projek ini, termasuk teori dan amali penternakan Tilapia, bertujuan melahirkan generasi belia yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, dan mampu menjana ekonomi komuniti.
“Ini seiring dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan masyarakat yang inklusif dan lestari,” tambahnya.
Tambah beliau, manfaat projek ini tidak terhad kepada aspek sosial tetapi turut memberi peluang ekonomi kepada komuniti.
Projek ini dibiayai melalui geran Komuniti@Unimadani dengan sokongan Kementerian Kewangan (MOF), Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UPSI, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI serta Pusat Kokurikulum UPSI.
Sementara itu, Dekan, Teknikal dan Vokasional (FTV) UPSI, Prof Madya Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain berkata, berkata projek ini merupakan manifestasi kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan komuniti Asnaf.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.