Oleh: Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: Projek tebatan banjir di daerah ini yang bernilai lebih RM700 juta akan disiapkan tiga tahun lebih awal daripada yang dijadualkan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kontraktor yang dilantik diarahkan menyiapkan projek berkenaan lebih awal.
Katanya, mengikut perancangan awal projek berkenaan yang diluluskan kerajaan persekutuan dijadualkan siap pada 2030.
“Bagaimanapun ia akan disegerakan kepada 2027 atas permintaan kerajaan negeri berikutan bencana banjir berlaku setiap tahun dan menjejaskan ribuan penduduk,” tegasnya pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya.
Katanya, pada masa sama, kerajaan sedang menimbang untuk membabitkan projek tebatan banjir di Sungai Sedili Besar yang akan memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk yang tinggal di lembangan sungai berkenaan yang turut kerap dilanda banjir.
Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, banjir Kota Tinggi berlaku berikutan daerah itu mengalami luruan hujan luar biasa pada Jumaat dan Sabtu lalu.
“Menerusi taklimat banjir Kota Tinggi tadi, pada 4 dan 5 Januari lalu, jumlah luruan hujan pada dua hari berkenaan melebihi paras hujan bulanan daerah ini.
“Lebih memburukkan keadaan berlaku fenomena air pasang besar yang bertembung hujan luar biasa sehingga air hujan daripada daratan tidak dapat dialirkan ke sungai,” katanya.
Mengulas isu kelewatan penghantaran makanan yang berlaku di sebuah PPS di Kota Tinggi semalam, Ahmad Zahid berkata, isu berkenaan sudah diselesaikan.
“Saya juga dapat laporan yang sama tetapi perkara itu sudah diselesaikan. Ketika itu hubungan penghantaran terputus, memang tidak ada laluan sebab aset kita cuma ada lori lima tan sahaja.
“Tetapi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan lori 10 tan ke Kota Tinggi dan masalah itu berjaya diselesaikan,” katanya.
Semalam 224 mangsa banjir daripada 67 keluarga di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil SJKT Tajul terpaksa menahan lapar lebih enam jam selepas makanan tengah hari tiba lewat lebih enam jam.